Misteri Penemuan Trompet Hari Kiamat!
Sangkakala ataupun disebut dalam sebutan bahasa Arab, 'Ash-shur' yang bermaksud tanduk akan ditiup oleh malaikat Israfil apabila berlakunya hari kiamat nanti. Soalnya, bagaimana rupa sangkakala, berapakah besarnya dan dimanakah ia berada?
Pada tahun 2005, sekumpulan astronomi yang diketuai oleh Profesor Frank Steiner dari University of Ulm, Jerman, menemui sesuatu yang mengejutkan di alam semesta.
Selama ini, ramai orang berpendapat bahawa alam semesta berbentuk bulat, mendatar, tidak terbatas dan tiada penghujung.
Namun, dengan menggunakan Wilkinson Microwave Anisotrophy Probe (WMAP), alat untuk melihat kosmologi secara keseluruhan, mereka menemui bahawa alam semesta adalah seperti bentuk tanduk atau corong di mana hujungnya semakin mengecil.
Teleskop Wilkinson Microwave Anisotrophy Probe.
Mereka mengamati bahawa bahagian hujung corong itu merupakan alam semesta yang tidak boleh diamati (Unobservable). Manakala dibahagian depan corong pula adalah tempat di mana terletaknya bumi dan seluruh sistem suria dipercayai alam semesta yang masih boleh dilihat (Observable).
Penemuan itu telah membantu ramai saintis dalam menjawab beberapa soalan penting tentang sejarah masa, ruang dan segala sesuatu di alam semesta.
Gambaran teori ruang masa.
Nabi Muhammad SAW pernah ditanya seperti mana dalam hadis yang diriwayatkan Al-Tarmizi daripada Abdullah bin Amr berkata: Datang seorang Badwi bertanya kepada Nabi, "Apakah itu sangkakala?" Nabi menjawab, "Sangkakala itu seperti tanduk yang ditiup padanya."
Sebahagian ulama seperti yang disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari berkata: "Peniup sangkakala itu ialah malaikat Israfil sebagai menandakan permulaan kehancuran yang hebat.
Dalam kitab Al-Mustadrak, terdapat sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawasanya, Nabi pernah menggambarkan bagaimana keadaan Israfil.
Baginda bersabda: "Sesungguhnya mata malaikat peniup sangkakala selalu melihat ke Arasy tanpa berkelip. Besiap siaga sejak hari diserahkan tugasnya, kerana dia takut ketika diperintahkan, dia sedang berkelip dan leka. Kedua matanya bagaikan dua bintang yang sangat terang."
Al-Qur'an juga jelas menggambarkan tiada sesuatu pun yang mengetahui bila kiamat akan terjadi, sedangkan ia berlaku tatkala manusia sedang sibuk melayan urusan dunia. Adapun sebagai peringatan kepada manusia, Nabi bersabda, "Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali pada hari Jumaat."
Atas perintah Allah, maka sangkakala akan ditiup oleh malaikat Israfil sebanyak dua kali. Tiupan pertama dipanggil kehancuran dan tiupan kedua ialah kebangkitan.
"Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu keputusannya masing-masing." (Surah Az-Zumar, ayat 68).
Daripada hadis Sahih Muslim, Nabi bersabda: "Yang mula-mula mendengar tiupan itu ialah lelaki yang sedang membuat takungan air untanya. Ketika dia sedang sibuk bekerja dan sangkakala ditiup, tengkuknya akan terbengkok."
Jarak tiupan pertama dan kedua juga tidak diketahui dengan tepat. Adapun diriwayatkan dalam hadis Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah r.a berkata: "Jarak antara dua tiupan angin itu 40." Anak buahnya bertanya, "Wahai Abu Hurairah, adakah ia 40 hari?" Abu Hurairah berkata, "Aku enggan menjawab." Mereka bertanya lagi, "Adakah ia 40 bulan?" Abu Hurairah berkata, "Aku enggan menjawab." Mereka bertanya lagi, "Apakah ia 40 tahun?" Abu Hurairah berkata, "Aku enggan menjawab."
Gambar hiasan: Gambaran hari kiamat.
Kemudian, selepas berlaku tiupan pertama, Allah menurunkan hujan. Nabi bersabda: "Lalu Allah menurunkan hujan, sehingga mayat-mayat tumbuh (bangkit) seperti tumbuhnya tanaman sayuran. Tidak ada satu bahagian tubuh manusia kecuali semuanya telah hancur selain satu tulang, iaitu tulang ekornya (Koksiks) dan dari tulang itulah jasad manusia akan di susun kembali pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Sahih Muslim).
Bagaimana Allah menjadikan bunyi daripada tiupan sangkakala sehingga boleh menyebabkan kehancuran dan kematian telah dikaji oleh saintis.
Didapati tatkala bunyi suara sampai ke 120 desibel, pada masa itu telinga kita akan berasa sakit. Kemudian, apabila sampai ke 150 desibel, ia akan menyebabkan gegaran dalam jantung dan sukar untuk bernafas. Apabila sampai ke 200 desibel, ia boleh mengakibatkan paru-paru manusia pecah. Dan sekiranya bunyi melebihi daripada itu, otak akan hancur lalu menyebabkan kematian.
"Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad SAW) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Qur'an) yang jelas nyata keterangannya. (Surah Al-Maidah, ayat 15).
Sumber : sentiasapanas.com