Mereka Yang Dijanjikan Syurga Oleh Al-Quran & Hadis
DI DALAM kehidupan manusia, mereka diberi dua pilihan oleh Allah SWT iaitu sama ada ke syurga atau neraka. Al-Quran menggambarkan ahli syurga sebagai orang yang sentiasa beriman dan beramal salih. Iman atau keyakinan perlu ditanam sebagaimana pesanan Rasulullah SAW, iman tidak diperolehi dengan berangan-angan tetapi iman adalah apa yang diikrarkan di dalam hati dan dizahirkan dengan amal dan perbuatan serta yakin bahawa pada suatu hari nanti manusia akan kembali menghadap Allah sebagai jenazah dan bakal berada di alam kubur. Manusia juga perlu yakin akan melalui saat disoal di dalam kubur dan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar, dan kemudian melalui titian sirat serta tetap yakin akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.
Tidak dapat dinafikan ciri utama penghuni syurga adalah di kalangan manusia yang beriman. Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah, ayat 25: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”
Manusia yang sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik dan berhijrah di jalan Allah merupakan di antara ciri bagi penghuni syurga. Semakin matang dan meningkatnya usia menjadikan mereka semakin salih sehingga ke penghujung hayatnya digelar wali Allah oleh para malaikat. Allah SWT menyebut: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.”(Surah al-Taubah, ayat 20-22). Oleh itu setiap manusia yang ingin berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya perlu ada kemahuan untuk melakukan perubahan.
Ciri ketiga bagi penghuni syurga ialah orang yang sentiasa bertaubat dan menjauhkan dirinya daripada berada kelalaian yang melampau. Rasulullah SAW berpesan, sekiranya bertemu dengan orang yang kaya, lalu kamu menghormatinya kerana kekayaannya nescaya dua pertiga daripada agamanya sudah dileburkan disisi Allah. Kerana di dalam kehidupan ini tidak akan ada seorang pun manusia yang layak memiliki kekayaan selain Allah SWT.
Selain itu orang yang beriman kepada Allah dan ayat-ayat-Nya serta sentiasa hidup dengan berserah kepada Allah merupakan di antara ciri manusia yang layak menghuni syurga. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Zukhruf, ayat 68-70 : “(Mereka – yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita”. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.
Manusia yang sentiasa hidup di dalam keikhlasan walaupun dihalangi pelbagai kesukaran, melayakkan mereka menjadi penghuni syurga kelak. Sukarnya melahirkan keikhlasan sehinggakan Allah menurunkan Surah al-Ikhlas yang dinilaikan seumpama satu pertiga al-Quran. Mereka yang mampu menjadikan dirinya ikhlas di dalam beribadah kepada Allah, menunjukkan petanda bahawa dirinya seperti yang digambarkan di dalam al-Quran, orang yang sedang bergerak kearah syurga. Surah as-Saaffaat, ayat 40-43: “Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan,”.
Ciri penghuni syurga termasuk di kalangan manusia yang istiqamah dalam beribadah kepada Allah. Mereka ini digambarkan di dalam Surah Fussilat ayat 30, “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”.
Orang-orang yang bertakwa kepada Allah, diusir dari negerinya dan diseksa kerana berada di jalan Allah juga di antara ciri penghuni syurga. Di dalam firman Allah, surah Ali-Imran, ayat 195: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.
Di antara ciri lain bagi manusia yang layak menghuni syurga ialah mereka yang sanggup merenggangkan dirinya dengan tempat tidurnya semata-mata untuk menghidupkan malamnya untuk sujud kepada Allah. Begitu juga para wali Allah yang sentiasa dekat-Nya, orang yang beriman pada Hari Akhirat serta orang yang sabar di dalam mengharapkan pertemuannya dengan Allah. Selain itu, manusia yang menginfaqkan sebahagian hartanya ke jalan Allah dan hidupnya begitu taat kepada Allah dan Rasul bakal memasuki syurga. Ciri-ciri ahli syurga ini terkandung di dalam surah Ar-Ra’d, ayat 22-24: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -(Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”
Hajah Fairuz Hj. Noordin
Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Nukilan dan beberapa rancangan yang lain.